Ganjaran RM10,000 Tangkap Dalang Pembunuhan Gajah Pygmy

Stay up-to-date by subscribing to ConserveByU’s Telegram channel.

Subscribe Now

Oleh Izwan Abdullah

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) menawarkan ganjaran RM10,000 kepada individu yang tampil memberi maklumat berhubung kes pembunuhan gajah pygmy Borneo di Sabah.

ADS

Menterinya, Datuk Seri Christina Liew, berkata maklumat berhubung kes itu penting bagi membantu pihak berkuasa sehingga dalang bertanggungjawab membunuh haiwan dilindungi itu ditangkap, didakwa dan disabitkan kesalahan di mahkamah.

Beliau merayu saksi pembunuhan gajah atau sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan tampil membantu siasatan.

“Kita menawarkan ganjaran RM10,000 ketika mesyuarat kementerian pada Rabu lalu selepas dikejutkan dengan penemuan satu lagi bangkai gajah tanpa kepala, baru-baru ini.

“Ia adalah kes ketiga sejak Januari tahun ini. Kita mahu bukti kukuh terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan ini.

“Sehubungan itu, kita meminta kerjasama orang ramai membuat laporan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) dan polis jika ada pihak menyaksikan mana-mana insiden terhadap gajah terbabit.

“Ini bagi memastikan kita dapat mendakwa pihak yang bertanggungjawab membunuh hidupan liar itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Minggu lalu, bangkai seekor gajah tanpa kepala ditemui dekat kawasan hutan Tibow, Kalabakan, di Jalan Kalabakan – Sapulut, tidak jauh dari lokasi penemuan bangkai gajah yang turut ditemui tanpa kepala dekat Lembangan Maliau di jalan yang sama pada Januari lalu.

Penemuan bangkai gajah terbabit disahkan Pengarah JHLS, Mohd Soffian Abu Bakar berikutan laporan diterima pihaknya minggu lalu mengenai bangkai seekor gajah tanpa kepala di kawasan Tibow, Kalabakan.

Berikutan penemuan bangkai gajah terbabit, JHLS diarah melaksanakan operasi bersama pihak berkuasa lain, termasuk membuat sekatan jalan raya di lokasi strategik bagi mengesan pelaku jenayah berkenaan.

Gajah pgymy Borneo adalah spesies dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 yang memperuntukkan hukuman berat termasuk denda dengan jumlah besar, selain penjara jika sabit kesalahan jenayah terhadap hidupan liar yang dilindungi.

Ketika ini, populasi gajah pygmy Borneo di Sabah dianggar antara 1,500 hingga 2,000 ekor, menjadikannya hidupan liar yang semakin diancam kepupusan di negara ini.

Follow our Facebook page ConserveByU for our latest updates.

Fair Use Notice: The material on this site is provided for educational and informational purposes only. All intellectual property that has not been created by or the ConserveByU team has either been used with permission, credited and linked back to it’s original source, or believed to be public domain. The material on this site is distributed without profit to those who have an interest in using the included information for research and educational purposes. If you wish to use copyrighted material from this site for purposes of your own that go beyond ‘fair use’, you must obtain permission from the copyright holder. The information on this site does not constitute legal or technical advice.
Share your love