KOTA KINABALU: Borneo Samudera Sdn Bhd (BSSB) menandatangani Perjanjian Penyelidikan selama lima tahun bersama Danau Girang Research and Conservation Bhd untuk meningkatkan pemantauan biodiversiti serta alam sekitar di Kawasan Pemuliharaan Sg Pin (SPnCA) di Kinabatangan.
Kawasan Pemuliharaan Sg Pin (SPnCA) merupakan inisiatif pemuliharaan sukarela oleh Sawit Kinabalu Group.
Meliputi kawasan seluas 2,632 hektar, SPnCA berperanan sebagai koridor biodiversiti penting yang menghubungkan landskap hutan yang terpisah di tengah-tengah ladang kelapa sawit.
Kawasan pemuliharaan ini menjadi perlindungan kepada pelbagai hidupan liar yang mengagumkan, termasuk spesies ikonik seperti orang utan Borneo yang terancam serta pelbagai haiwan yang lain.
Perjanjian Penyelidikan ini menekankan kepentingan melindungi spesies-spesies haiwan berkenaan sambil meningkatkan pemahaman saintifik tentang tingkah laku, ekologi dan habitat haiwan terbabit.
Dengan menggunakan teknik inovatif, kerjasama ini bertujuan menilai pemuliharaan SPnCA sambil menghasilkan data berharga untuk merangka strategi pemuliharaan biodiversiti jangka panjang.
Majlis menanda tangan itu dijayakan diantara Ketua Pegawai Kelestarian (CSO), Nazlan Mohamad bagi pihak Sawit Kinabalu Group dan Pengarah Pusat Penyelidikan Danau Girang, Prof. Benoit Goossens.
Majlis itu disaksikan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Victor Ationg.
Kerjasama itu menegaskan komitmen penuh Sawit Kinabalu untuk mengimbangi amalan pertanian lestari dengan pemuliharaan semula jadi.
SPnCA adalah bukti bahawa industri dan pemuliharaan dapat wujud bersama secara harmoni untuk memastikan masa depan yang mampan bagi biodiversiti dan komuniti yang bergantung pada landskap itu.
Follow our Facebook page ConserveByU for our latest updates.