Oleh Asyikin Asmin
TAWAU – Dua lelaki dipenjara selama 12 bulan dan denda RM200,000 di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin, selepas mengaku bersalah memiliki tenggiling sebagai haiwan dilindungi sepenuhnya di negeri ini.
Tertuduh, Azlan, 34, dan Artan Asrianto, 24, membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Hakim, Ahmad Faizadh Yahaya selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Menurut pertuduhan, kedua-dua tertuduh pada 4 Januari lalu iaitu kira-kira jam 11.40 pagi, di kawasan tempat meletakkan kenderaan di hadapan sebuah premis di Batu 2, Jalan Bubul, Semporna, didapati memiliki empat ekor tenggiling hidup disyaki dari spesies Manis Javanica.
Haiwan tersebut merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya seperti yang disenaraikan dalam Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 41(4)(a) Enakmen yang sama.
Jika disabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 dan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun.
Kedua-dua tertuduh yang dikenakan hukuman denda boleh dikenakan penjara selama 12 bulan lagi jika masing-masing gagal membayar wang denda tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL), Primus Lambut manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Follow our Facebook page ConserveByU for our latest updates.