Oleh KOSMO!
PETALING JAYA – Kemuncak fenomena hujan meteor Quadrantids boleh disaksikan pada lewat malam 3 Januari 2025 hingga awal pagi 4 Januari 2025 dengan purata 80 meteor setiap jam.
Menurut satu hantaran di laman sesawang Agensi Angkasa Malaysia (Mysa), fenomena itu mula aktif dan boleh dilihat pada 26 Disember 2024 hingga 16 Januari 2025.
“Kenampakan hujan meteor tersebut adalah bagus kerana tiada gangguan daripada bulan sabit baru yang terbenam pada pukul 10.26 malam sebelum waktu kemuncak berlaku.
“Hujan meteor Quadrantids berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit asteroid yang dinamakan 2003 EH1,” katanya.
Tambah kenyataan itu, sebahagian daripada asteroid itu terurai menjadi serpihan debu dan habuk akibat kesan rekahan terma yang kuat dan seterusnya terserak ke dalam laluan orbitnya.
“Asteroid dengan kelebaran tiga kilometer ini mengambil masa kira-kira 5.5 tahun untuk mengorbit mengelilingi matahari.
“Perkataan Quadrantids ini merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Quadrans Muralis, sebuah buruj yang sudah tidak lagi digunakan,” katanya.
Katanya, kawasan tersebut sekarang dikenali sebagai buruj Bootes dan hujan meteor itu turut dinamakan sebagai Bootids.
“Walau bagaimanapun, kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah.
“Kebanyakan kemuncak hujan meteor berlaku selama kira-kira dua hari tetapi kemuncak hujan meteor Quadrantids ini hanya berlaku dalam masa beberapa jam sahaja kerana bumi melintasi aliran zarah yang nipis tersebut secara bersudut serenjang (tegak lurus),” katanya.
Katanya meteor Quadrantids juga terkenal dengan meteor bola api yang terang.- KOSMO! ONLINE
Follow our Facebook page ConserveByU for our latest updates.