By Soon Li Wei
Bunyi enjin bot memecah keheningan pagi di jeti mini milik Bilit Adventure Lodge di sini, menambah keterujaan penulis dan 15 lagi rakan media yang telah menunggu seawal 7 pagi, untuk meneroka keindahan biodiversiti di sepanjang Sungai Kinabatangan.
Kesemua kami yang dibawa dari Semenanjung oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), akan dibawa menyusuri Kawasan Konservasi Sungai Pin (SPnCA) berkeluasan 2,632 hektar dalam “Misi Menjejak Orang Utan”, program kemuncak lawatan media ke Negeri di Bawah Bayu itu.
Sepanjang lawatan dari 12 hingga 16 Nov itu, kami turut dibawa meninjau Koridor Hidupan Liar Brumas dan Santuari Gajah Borneo di Tawau bagi melihat sendiri projek pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar yang dijalankan oleh beberapa syarikat perladangan kelapa sawit di bumi Sabah ini.
Lengkap memakai baju keselamatan berwarna oren terang, kami memulakan perjalanan menyusuri sungai kedua terpanjang di Malaysia itu yang juga antara ekosistem terkaya di dunia.
Kawasan ini merupakan “syurga” pencinta alam, kerana di sini diam beberapa spesies terancam dan hampir pupus, membuatkan masing-masing yang berada di atas bot itu memegang kamera telefon pintar, bersedia untuk merakam pada bila-bila masa.
Sesekali, pemandu pelancong kami yang berasal dari Tawau, Edmunda Junior atau mesra dipanggil Ed, mengingatkan kami supaya tidak meletakkan tangan di atas permukaan air kerana dikhuatiri diserang buaya.
“Ah! Padanlah terdapat banyak papan tanda berwarna hijau ‘Awas! Kawasan ini ada buaya’ di jeti-jeti sungai ini,” bisik hati penulis.
KEKAYAAN SUMBER BIODIVERSITI
Pelbagai hidupan liar dapat kami lihat sepanjang dua jam merentasi SPnCA itu, terutama daripada spesies monyet dan burung.
Kami juga melihat tiga jambatan gantung yang dibina oleh Unit Konservasi dan Biodiversiti (ConserveByU), Sawit Kinabalu Sdn Bhd untuk laluan orang utan menyeberangi Sungai Kinabatangan.
Kami meminta pemandu bot untuk berlegar di ketiga-tiga kawasan jambatan gantung itu, kerana ingin melihat kelibat haiwan primat tersebut, namun hampa. Tidak ada seekorpun yang “melintas” di depan mata kami.
Walaupun sedikit kecewa kerana gagal melihat orang utan liar, kami tetap gembira dapat menyaksikan gelagat monyet proboscis atau monyet belanda, ungka, enggang badak, enggang belulang dan burung raja udang yang turut tersenarai dalam hidupan terancam.
Tidak ubah seperti pertunjukan sarkas, kumpulan monyet belanda itu bagaikan tidak takut dengan kehadiran manusia, melakukan pelbagai aksi membuatkan kami seronok menyaksikan telatah haiwan itu.
Sedang kami leka dengan “pertunjukan secara langsung” oleh monyet-monyet di atas pokok, Ed menyebut “buaya” dan meminta kami diam.
Berpaling ke arah yang ditunjukkan oleh Ed, pada mulanya penulis tidak dapat melihat reptilia itu kecuali “seketul batu” yang sebahagiannya ditenggelami air. Namun, setelah meneropong menggunakan binokular yang dihulurkan oleh Ed, barulah jelas kelihatan bentuk buaya berkenaan.
“Dari jauh, tidak ada bezanya buaya dengan batu,” kata rakan-rakan media yang lain.
Menurut ConserveByU Eksekutif Rashidah Maqbool Rehman, selain terkenal sebagai habitat tetap buaya, SPnCA menjadi “kediaman” 17 jenis mamalia dengan tiga daripadanya hanya ditemukan di Borneo. Lapan daripada mamalia ini pula, termasuk orang utan, diancam kepupusan.
“Selain orang utan dan monyet belanda, turut menghuni kawasan hutan di sini ialah musang sawit asia, lutung perak dan tenggiling sunda – yang merupakan hidupan terancam.
“Terdapat 28 jenis burung yang dilindungi dengan lapan daripadanya dalam kategori terancam dan menghadapi kepupusan, antaranya enggang badak, enggang belulang, stork-billed kingfisher dan 85 jenis serangga dengan lima hanya boleh ditemukan di kepulauan Borneo,” katanya.
BILANGAN HIDUPAN LIAR BERTAMBAH
Pengurus ConserveByU Charis Saliun berkata Sawit Kinabalu Sdn Bhd telah mewartakan lebih daripada 8,000 hektar kawasan miliknya sebagai kawasan pemuliharaan di seluruh Sabah, iaitu di Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau.
Katanya, lebih RM11 juta telah dibelanjakan sejak 2000 untuk usaha pemuliharaan haiwan terancam di sekitar SPnCA, antaranya memasang perangkap kamera bagi mengenal pasti jumlah hidupan liar yang berada di kawasan itu.
“Kita memasang perangkap kamera sebagai antara petunjuk kepada kesan positif pemuliharaan yang kita usahakan, dan kami mendapati gambar yang dirakam ada orang utan bersama anak-anaknya.
“Kita juga dapat gambar ungka dan anaknya, tenggiling dengan anaknya. Bagi saya itu adalah satu petunjuk yang baik,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata menerusi usaha bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan, antaranya Borneo Conservation Trust dan MPOGCF, populasi orang utan mencatatkan peningkatan kepada 55 ekor tahun ini berdasarkan pemantauan yang dilakukan oleh Hutan, iaitu sebuah NGO.
“Sebelum ini ekspedisi yang dilakukan oleh Borneo Conservation Trust pada 2014 mencatatkan bilangan orang utan sebanyak 37 ekor, meningkat kepada 42 pada 2019 dan 44 pada 2022,” katanya.
Charis berkata mereka pada mulanya beroperasi dengan tujuh orang pekerja yang turut bertindak sebagai renjer hutan, namun bilangan itu ditingkatkan kepada 26 orang tahun ini hasil kejayaan pemuliharaan oleh mereka.
“Usaha yang dibuat termasuk penanaman semula pokok hutan di kawasan yang dahulunya diteroka bagi penanaman sawit, kini menampakkan kejayaan dengan kehijauan mula memenuhi kawasan yang dahulunya lapang,” katanya.
PRODUK EKOPELANCONGAN
Katanya, mereka tidak hanya melakukan pemuliharaan tetapi juga membangunkan produk ekopelancongan bagi meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai, termasuk penduduk di lima buah kampung sekitar tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
“Kami mula membuka lawatan kepada pelancong dengan memberi pakej istimewa selama setahun secara percuma sejak tahun lepas. Namun bermula Julai lalu, kami telah mengenakan bayaran.
“Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, kehadiran seramai 412 pelancong telah direkodkan dengan kebanyakan dari Eropah, Jepun dan Afrika Selatan,” katanya sambil menambah, pihaknya kini sedang menyiapkan prosedur operasi standard bagi pelayaran sungai waktu malam yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Pengurus Besar MPOGCF Hairulazim Mahmud berkata SPnCA merupakan projek rintis Diplomasi Orang Utan dengan kerjasama pihaknya dan Sawit Kinabalu Sdn Bhd.
Menurut beliau, pihaknya menyumbang sekurang-kurangnya RM10,000 secara sekali gus untuk projek pemuliharaan secara in-situ.
Katanya, MPOGCF turut melaksanakan Projek Penanaman Sejuta Pokok untuk habitat orang utan di Sabah, iaitu di Lower Kawag, Hutan Simpan Ulu Segama-Malua sejak 2022, melibatkan komuniti penduduk setempat.
“Kami kini memasuki fasa kedua (projek), dan hingga 31 Okt lepas sebanyak RM2,638,066 disalurkan termasuk sejumlah RM557,111 bagi tahun ini.
“Kami juga turut memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk benih-benih pokok dan seramai 70 penduduk kampung terlibat dalam projek ini setakat Oktober 2023.
“Sepanjang 2022, penduduk kampung berjaya menyempurnakan khidmat pembekalan 80,000 bibit anak pokok di fasa kedua seluas 200 hektar,” katanya.
Follow our Facebook page ConserveByU for our latest updates.