Orang Utan Semakin Bertambah di Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin

Stay up-to-date by subscribing to ConserveByU’s Telegram channel.

Subscribe Now

by: Khairulanuar Yahaya

MENYELUSURI Sungai Kinabatangan, Sabah yang merentasi Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin (SPnCA) berkeluasan 2,632 hektar menawarkan pengalaman yang menakjubkan. Kawasan ini diiktiraf sebagai kaya dengan biodiversiti di dunia.

ADS

Jika berpeluang melayari Sungai Kinabatangan yang merentasi SPnCA menggunakan bot pengunjung akan dapat melihat pelbagai spesis monyet dan burung, ada antaranya berada dalam senarai haiwan terancam dan berhadapan dengan kepupusan.

Jika bertuah anda mungkin dapat menyaksikan orang utan bergayut di tiga jambatan gantung yang dipasang Unit Konservasi dan Biodiversiti (ConserveByU) Sawit Kinabalu Sdn Bhd. untuk menyeberangi Sungai Kinabatangan yang turut menjadi habitat buaya.

Dua orang utan yang dirakam oleh perangkap kamera menggunakan jambatan yang dibina oleh ConserveByU.

SPnCA kaya dengan pelbagai jenis tumbuhan terdiri daripada 95 jenis keluarga, 17 jenis mamalia dengan tiga daripadanya hanya terdapat di kepulauan Borneo dan lapan daripadanya kini berhadapan dengan kepupusan termasuk orang utan.

Selain orang utan, turut menghuni kawasan hutan di sini adalah monyet proboscis atau monyet belanda, gibbon, musang sawit asian, lutung perak dan tenggiling sunda – yang merupakan hidupan terancam.

Terdapat 28 jenis burung yang dilindungi dengan lapan daripadanya dalam kategori terancam dan menghadapi kepupusan antaranya termasuk enggang badak, enggang belulang, raja udang strok-billd dan 85 jenis serangga dengan lima hanya boleh ditemui di kepulauan Borneo.

Antara spesis burung raja udang yang boleh dilihat ketika menyelusuri Sungai Kinabatangan.-Foto ihsan MPOGCF

Sawit Kinabalu yang merupakan syarikat perladangan kelapa sawit menitik beratkan usaha pemuliharaan hutan dan hidupan liar.

Syarikat penanam dan pengeluar minyak sawit itu telah menggazetkan lebih daripada 8,000 hektar kawasan miliknya sebagai kawasan pemuliharaan di seluruh Sabah iaitu di Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau.

SPnCA yang terletak di hilir Kinabatangan misalnya mencatatkan kejayaan dalam usaha memastikan spesis terancam seperti orang utan bukan sahaja dilindungi tetapi juga membiak.

Pengurus ConserveByU Charis Saliun ketika ditemubual oleh media.-Foto ihsan MPOGCF

Pengurus ConserveByU Charis Saliun berkata, populasi orang utan mencatatkan peningkatan kepada 55 ekor tahun ini berdasarkan pemantauan yang dilakukan oleh Hutan iaitu sebuah badan bukan Kerajaan.

Jelasnya, sebelum ini ekspedisi yang dilakukan oleh Borneo Conservation Trust pada 2014 mencatatkan bilangan orang utan sebanyak 37 ekor, meningkat kepada 42 pada 2019 dan 44 pada 2022.

“Kita memasang perangkap kamera sebagai salah satu petunjuk kepada kesan positif pemuliharaan yang kita buat. Gambar yang dirakam kita nampak orang utan bersama anaknya.

“Kita juga dapat gambar gibbon dan anaknya, tenggiling dengan anaknya, bagi saya itu adalah satu petunjuk yang baik,” katanya yang ditemui ketika lawatan media ke SPnCA anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dengan kerjasama Sabah Tourism baru-baru ini.

Enggang badak yang terbang bebas di Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin.-Foto ehsan MPOGCF.

Pejabat ConserveByU yang terletak berhampiran dengan Sungai Kinabatangan merupakan lokasi strategik bagi agenda pemuliharaan hidupan liar.

Unit itu ditubuhkan pada Oktober 2021 berikutan Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Jansie melihat kepentingan pemuliharaan dan perlindungan biodiversiti dalam operasi syarikat itu.

Peserta yang menyertai kembara Sungai Kinabatangan melihat usaha syarikat minyak sawit memulihara hutan dan hidupan liar.-Foto ihsan MPOGCF

ConserveByU pada mulanya beroperasi dengan tujuh orang pekerja yang turut bertindak sebagai ranjer hutan namun bilangan itu ditingkatkan kepada 26 orang tahun ini hasil kejayaan pemuliharaan yang ditunjukan oleh unit itu.

Usaha yang dibuat termasuk penanaman semula pokok hutan di kawasan yang dahulunya diteroka bagi penanaman sawit yang dimulakan sejak tahun 2000, kini menampakan kejayaan dengan kehijauan mula memenuhi kawasan yang dahulunya lapang.

Syarikat itu juga konsisten membuang tumbuhan invasif seperti rotan yang mempunyai duri kerana mendatangkan kecederaan terhadap haiwan liar termasuk orang utan.

Katanya, dari tahun 2000 hingga sekarang Sawit Kinabalu telah membelanjakan RM11 juta bagi tujuan pemuliharaan haiwan terancam.

Monyet proboscis atau monyet belanda yang bergayutan di dahan pokok di Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin.-Foto ihsan MPOGCF

Pemuliharaan haiwan liar turut menjadi agenda penting MPOGCF yang ditubuhkan pada 2021 dengan memberi tumpuan kepada orang utan yang hanya terdapat di Kepulauan Borneo dan Sumatera.

Eksekutif Pemuliharaan MPOGFC, Danial Pamin berkata, pihaknya kini sedang mencari penyumbang berpotensi daripada syarikat sawit tempatan untuk menjadikan orang utan sebagai ‘anak angkat’ dengan kerjasama Sawit Kinabalu.

Beliau menjelaskan, projek ini tidak akan melibatkan sebarang rancangan membawa orang utan keluar daripada habitan asal sebaliknya mengunakan kaedah in-situ.

Tambahnya, kertas cadangan projek ‘diplomasi orang utan’ yang akan dimulakan tahun depan itu telah dihantar kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi.

“Konsep diplomasi orang utan ini adalah penyumbang akan menjadikan orang utan di SPnCA sebagai anak angkat dan kita tetapkan jumlah sumbangan yang perlu diberikan. Orang utan ini akan kekal dalam habitan mereka di hutan.

“Sejumlah sumbangan antaranya akan digunakan untuk menambah ranger hutan yang terdiri daripada penduduk tempatan secara tidak langsunng mereka akan terbabit dalam usaha pemuliharaan. Projek ini juga akan memberi faedah kepada hidupan liar yang lain,” jelasnya.

Danial Pamin ketika ditemubual oleh media.-Foto ihsan MPOGCF

Bagi meningkatkan pemahaman orang ramai termasuk kepada penduduk di lima kampung sekitar mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar ConserveByU telah membuka SPnCA kepada aktiviti pelancong.

Projek tersebut telah dimulakan tahun lepas dengan memberi pakej istimewa kepada pelawat selama setahun secara percuma.

Namun sejak Julai lalu pelawat dikenakan bayaran dan dari Januari hingga Oktober tahun ini kehadiran seramai 412 pelancong telah direkodkan dengan kebanyakan dari Eropah, Jepun dan Afrika Selatan.

Anggota media yang melihat usaha pemuliharaan hidupan liar yang dilakukan oleh ConserveByU dan MPOGCF di Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin.-Foto ihsan MPOGCF

ConserveByU kini sedang menyiapkan prosedur operasi standard bagi pelayaran sungai waktu malam  yang akan diperkenalkan tidak lama lagi dan sekali gus wang yang diperolehi bukan sahaja untuk pemuliharaan orang utan tetapi juga haiwan terancam yang lain.- Malaysia Gazette

Ini adalah bahagian 1 daripada 3 siri artikel usaha pemuliharaan orang utan dan gajah pygmy yang dilakukan oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Sabah.

Follow our Facebook page ConserveByU for our latest updates.

Fair Use Notice: The material on this site is provided for educational and informational purposes only. All intellectual property that has not been created by or the ConserveByU team has either been used with permission, credited and linked back to it’s original source, or believed to be public domain. The material on this site is distributed without profit to those who have an interest in using the included information for research and educational purposes. If you wish to use copyrighted material from this site for purposes of your own that go beyond ‘fair use’, you must obtain permission from the copyright holder. The information on this site does not constitute legal or technical advice.
Share your love