Lonjakan dalam permintaan minyak sawit mengatasi pertumbuhan bekalan – Foto AFP
Oleh BERNAMA – April 16, 2024
KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM), yang melonjak ke paras tertinggi RM4,327 satu tan pada Mac 2024, dijangka bergerak dalam julat stabil RM4,000 hingga RM4,200 satu tan pada bulan ini, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Dalam terbitan Palm Pulse keluaran April 2024, majlis itu berkata dinamik pasaran minyak sawit pada bulan ini dipengaruhi oleh beberapa faktor utama, iaitu peningkatan dalam pengeluaran minyak sawit, import minyak sawit yang meningkat dan harga minyak campuran yang kembali pulih.
Jangkaan pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi bulan ke bulan dari April dan seterusnya berkemungkinan mengehadkan kenaikan harga minyak sawit, katanya.
“Secara umumnya, trend harga minyak sawit sejajar dengan trend pengeluaran dan inventori, dengan harga lazimnya mengukuh dari November dan memuncak pada Februari atau Mac,” katanya.
Berhubung import mengikut pasaran-pasaran utama, MPOC berkata pada bulan-bulan akan datang, China dan India dijangka meningkatkan import minyak makan mereka bagi mengimbangi sentimen menurun, mengakibatkan peningkatan dalam pengeluaran dan stok.
“Inventori minyak makan di kedua-dua negara itu telah menyusut ke paras terendah sejak November 2022.
“Penyusutan ini disebabkan oleh pengurangan ketara dalam import minyak makan oleh China dan India dari November 2023 hingga Februari 2024, dengan China merosot sebanyak 34 peratus dan India menurun sebanyak 21 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya,” katanya.
Menurut MPOC, harga minyak campuran, terutamanya bagi minyak bunga matahari, dijangka melonjak semula dalam tempoh terdekat.
Ia berkata, harga minyak bunga matahari mendahului penurunan dalam dinamik harga minyak campuran dari Januari hingga Mac 2024, sebahagian besarnya disebabkan oleh bekalan eksport yang terjejas dari rantau Laut Hitam.
“Bagaimanapun, menurut unjuran Oil World, pertumbuhan dalam pengeluaran minyak bunga matahari di rantau Laut Hitam untuk tahun pemasaran 2023/2024 dijangka berlaku pada separuh pertama musim ini.
“Sehubungan itu, pengeluaran tahun ke tahun dijangka menurun dari April hingga September 2024, yang menunjukkan bahawa tekanan harga daripada bekalan minyak bunga matahari bersedia untuk berkurangan pada masa hadapan,” kata MPOC.
Pada Februari 2024, stok minyak sawit Malaysia pada akhir bulan meneruskan aliran menurun untuk bulan keempat berturut-turut, jatuh sebanyak 5.0 peratus bulan ke bulan kepada 1.92 juta tan daripada 2.02 juta tan pada Januari.
Walau bagaimanapun, pada asas tahun ke tahun, penurunan adalah lebih besar pada 9.4 peratus daripada 2.12 juta tan pada Februari 2023.
MPOC berkata, terdapat peningkatan ketara dalam eksport dan penggunaan domestik minyak sawit pada dua bulan pertama 2024, secara kolektif meningkat sebanyak 174,264 tan daripada tempoh yang sama pada 2023.
“Bagaimanapun, pengeluaran hanya mengalami kenaikan sederhana sebanyak 27,944 tan dalam tempoh dua bulan pertama 2024. Ini menunjukkan lonjakan dalam permintaan mengatasi pertumbuhan bekalan sebanyak 623 peratus dan ini agak mengejutkan,” tambahnya.
-BERNAMA