Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan keindahan alam semula jadi dan salah satu cara terbaik untuk menikmati keunikan alamnya adalah dengan mendaki bukit atau gunung dan menjelajahi trek-trek hiking yang menakjubkan. Selain memberikan pengalaman yang menarik, tempat-tempat mendaki ini juga memberikan manfaat yang besar terhadap kelestarian alam.
Gunung Tahan, Taman Negara Pahang
Gunung Tahan merupakan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia dan merupakan mercu tanda bagi Taman Negara Pahang. Ia juga adalah salah satu taman negara tertua di Malaysia yang dipenuhi hutan tebal dengan struktur permukaan trail yang landai, berakar dan curam sehingga 90 darjah. Pendaki boleh menikmati keindahan alam sekeliling dengan melihat matahari terbenam di Kem Botak, matahari tebit, banyak jenis orkid, rafflesia dan lain-lain tumbuhan ketika mendaki Gunung Tahan.
Bukit Tabur, Hulu Gombak
Bukit Tabur yang terletak di daerah Gombak, adalah antara tempat mendaki yang paling popular di Lembah Klang. Menyediakan pemandangan yang memukau ke arah Lembah Klang dan kawasan sekitarnya, Bukit Tabur juga mempunyai banyak flora yang mempunyai nilai perubatan. Selain melihat kecantikkan matahari terbit, pendaki juga dapat menikmati pemandangan Empangan Klang Gates dan Banjaran Titiwangsa dari Bukit Tabur.
Gunung Datuk, Rembau
Destinasi kegemaran ramai pendaki untuk membuat latihan atau baru mula menjelajahi alam semula jadi adalah Gunung Datuk yang terletak di Hutan Simpan Tampin, Negeri Sembilan. Gunung ini mempunyai ketinggian 884 meter dengan kelilingi hutan jenis dipterokarp bukit. Para pendaki dapat menikmati pemandangan yang menakjubkan termasuk formasi batu yang unik, pelbagai jenis flora dan fauna. Selain daripada menyediakan pemandangan indah, Gunung Datuk juga menyediakan ruang untuk pendidikan alam sekitar dan pemuliharaan alam semula jadi.
Gunung Jerai, Kedah
Gunung Jerai adalah gunung puncak tertinggi di negeri Kedah. Ketinggian 1,207 meter menjadikan ia tempat tarikan pendaki bagi menikmati pemandangan yang menakjubkan dari puncaknya. Uniknya di gunung ini adalah terdapat pelbagai tumbuh-tumbuhan tropika yang merangkumi kawasan hutan dipterokarp bukit dan hutan dipterokarp atas. Pendaki juga dapat melihat Muzium Perhutanan yang mempamerkan pelbagai khazanah dan maklumat mengenai hutan simpan Gunung Jerai, tempat bersejarah, Taman Rimba, batu kapal, air terjun dan sebagainya.
Gunung Ledang, Johor
Gunung Ledang yang juga dikenali sebagai Gunung Ophir, adalah salah satu gunung yang terkenal dan tertinggi di Johor, Malaysia. Gunung ini dipercayai sebagai salah satu hutan yang sangat kaya dengan spesies tumbuhan yang sukar ditemui. Selain menikmati pemandangan cantik di puncak gunung, pengunjung juga boleh mempelajari lagenda dan sejarah Gunung Ledang. Terdapat juga pelbagai jenis flora dan fauna yang masih dipelihara di sini.