Pengamalan gaya hidup lestari di rumah merupakan langkah penting dalam usaha untuk melindungi alam dan menjaga kelestarian sumber-sumber alam yang sedia ada. Dengan perubahan kecil ini, kita dapat memberi sumbangan yang besar untuk mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan meningkatkan kualiti kehidupan kita serta generasi akan datang. Antara gaya hidup lestari yang boleh diamalkan di rumah adalah seperti berikut:
1. Beg Guna Semula
Hentikan penggunaan beg plastik ketika membeli belah dan amalkan membawa beg guna semula. Penggunaan beg plastik secara berleluasa hanya meningkatkan pencemaran alam sekitar. Plastik adalah bahan yang sangat susah untuk dilupuskan dan mengambil masa lama sehingga mencecah ratusan tahun untuk reput dan ia bergantung kepada bahan yang digunakan dalam pembuatannya.
Oleh itu, anda disarankan untuk menggunakan beg guna semula untuk mengurangkan pencemaran alam dan perubahan iklim global. Simpan beg guna semula dalam kereta supaya anda tidak lupa untuk membawa setiap kali ketika membeli belah.
2. Menggunakan Pembersih Semula Jadi
Gantikan pembersih rumah berbahan kimia seperti peluntur klorin, ammonia, pewarna dan lain-lain dengan pembersih bahan semula jadi. Bahan-bahan seperti cuka, soda bikarbonat, limau atau bio-enzim boleh digunakan untuk membersihkan pelbagai permukaan tanpa menjejaskan alam sekitar. Ia juga akan membantu mengurangkan toksin yang dibebaskan dalam alam persekitaran.
3. Peralatan Buluh
Kurangkan penggunaan barangan yang dibuat daripada plastik seperti berus gigi, sikat rambut, penyedut minuman, botol, papan memotong dan sebagainya. Anda boleh gantikannya dengan peralatan buatan buluh yang lebih mesra alam dan boleh dikitar semula.
4. Menanam
Menanam pokok di rumah dapat membantu menyerap karbon dioksida dari udara yang akhirnya mengurangkan kesan gas rumah hijau. Selain itu, anda juga dapat menikmati bekalan sayur-sayuran atau buah-buahan yang lebih sihat dan organik.
5. Kompos Sisa Makanan
Kitar semula sisa makanan di rumah anda sebagai baja organik. Kumpulkan sampah makanan seperti kulit sayur atau buah-buahan dalam tong yang mempunyai pengudaraan dan hasilkan kompos sendiri. Dengan melakukan demikian kita dapat mengurangkan masalah pembuangan sampah dan menjimatkan kos membeli baja kimia.
6. Lampu LED
Penggunaan lampu biasa boleh meningkatkan haba dalam rumah. Anda disarankan untuk menggunakan lampu jenis LED kerana ia lebih mesra alam, murah dan juga mengurangkan pencemaran haba alam sekitar.