Mendaki adalah aktiviti yang popular di kalangan penduduk tempatan dan pelancong yang menghargai keindahan alam semula jadi Malaysia. Namun, kesan negatif seperti pencemaran, gangguan habitat dan pembaziran sumber semula jadi sering berlaku semasa melakukan aktiviti pendakian oleh pengunjung. Bagi menjaga kelestarian alam dan kekal menarik ekopelancong ke Malaysia, ia menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi alam semula jadi.
Jangan Membuang Sampah
Jangan sesekali membuang sampah seperti botol air, jus, sisa makanan dan lain-lain secara merata. Membuang sampah terutamanya plastik boleh mengambil masa yang lama untuk mereput dan ia menjadi punca berlakunya pencemaran alam. Pastikan anda membuang sampah sarap dalam tong sampah yang disediakan. Anda juga boleh membawa plastik sampah sendiri dan membuang kemudian ke dalam tong sampah selepas mendaki.
Jangan Mengganggu Habitat Haiwan
Semasa mendaki gunung atau hutan, anda boleh melihat banyak jenis haiwan di habitatnya. Elakkan mengganggu haiwan tersebut dengan mengambil gambar menggunakan ‘flash’ atau cuba mendekatinya kerana ia boleh mengganggu habitatnya. Selain itu, haiwan juga boleh menyerang anda dan mengundang risiko keselamatan diri dan orang sekeliling.
Jangan Memetik Bunga
Terdapat banyak spesies flora yang cantik dan unik boleh ditemui dalam kawasan hutan. Namun, anda dilarang untuk memetiknya kerana ia boleh mengganggu habitat dan ekosistem semula jadi.
Memadamkan Unggun Api dengan Betul
Pastikan anda membuang kayu api dengan betul untuk mengelakkan berlaku kebakaran kerana kawasan hutan adalah tempat mudah bakar. Selain itu, sekiranya merokok, elakkan membuang puntung rokok secara merata kerana ia juga boleh mencetuskan kebakaran dan menjadi punca berlaku pencemaran alam.
Penggunaan Sumber Semula Jadi Secara Berhemah
Semasa mendaki, pastikan menggunakan sumber semula jadi seperti air dan kayu api dengan berhemah. Ambil hanya apa yang diperlukan, elakkan pembaziran dan mendorong kesan negatif kepada persekitaran. Pastikan membersihkan semula kawasan istirehat dan meninggalkan kawasan pendakian dalam keadaan yang sama atau lebih baik daripada sebelumnya.
Jangan Menggunakan Laluan Pintas
Gunakan laluan yang sedia ada dan elakkan penggunaan jalan pintas yang boleh merosakkan ekosistem hutan. Selain itu, menggunakan jalan pintas juga boleh menyebabkan anda tersesat dalam hutan.