Kerajaan Tidak Berhasrat Tangguh Pelaksanaan MSPO

Stay up-to-date by subscribing to ConserveByU’s Telegram channel.

Subscribe Now

SANDAKAN – Kerajaan pusat tidak berhasrat untuk menangguhkan pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), kata Menteri Industri Utama Teresa Kok hari ini.

Jelasnya, pensijilan MSPO sangat perlu bagi memastikan minyak sawit negara diiktiraf sebagai mampan dan bertaraf lima bintang.

ADS

“Itulah sebab kita mahu meneruskan pensijilan MSPO dengan serius.

“Kalau tidak, nanti sukar bagi kita untuk memasarkan minyak sawit kita pada masa akan datang, khususnya apabila negara seperti anggota Kesatuan Eropah mengenakan pelbagai halangan untuk kemasukan minyak sawit negara ke pasaran Eropah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kebun kelapa sawit Chong Yun Loi, 52, yang mendapat pensijilan MSPO pada minggu lepas ke atas kebun kelapa sawit seluas dua hektar yang diusahakannya dekat sini sejak 2006.

Teresa Kok diminta mengulas permintaan kebanyakan pekebun kecil sawit yang menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan pensijilan MSPO dan meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan pensijilan MSPO sehingga keadaan pasaran bertambah baik.

Beliau berkata kerajaan akan memberikan kos pengauditan sebanyak RM135 sehektar tanaman kelapa sawit bagi memudahkan usaha pekebun kecil memohon pensijilan MSPO.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Chew Jit Seng, terdapat kira-kira 650,000 pekebun kecil di seluruh negara yang mengusahakan 38 peratus daripada jumlah 5.85 juta hektar tanaman kelapa sawit.

Kerajaan mewajibkan semua pengusaha tanaman kelapa sawit di negara ini, termasuk pekebun kecil, untuk mendapat pensijilan MSPO sehingga 31 Dis ini.

Pensijilan MSPO menggariskan syarat, antaranya amalan pertanian terbaik dalam usaha menjadikan minyak sawit negara sebagai pilihan utama di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, Kok melawat Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo di Sepilok dekat sini.

Beliau kagum dan memuji usaha gigih kerajaan negeri Sabah menerusi Jabatan Perhutanan Negeri dan Jabatan Hidupan Liar Sabah dalam memelihara dan memulihara alam sekitar serta hidupan liar dan harus dipromosikan secara hebat, khususnya kepada masyarakat antarabangsa.

“Saya rasa semua usaha ini (menjaga alam sekitar dan hidupan liar) akan membantu usaha kita memerangi kempen anti sawit di luar negara,” katanya. -Bernama

Sumber: Sinar Harian

Fair Use Notice: The material on this site is provided for educational and informational purposes only. All intellectual property that has not been created by or the ConserveByU team has either been used with permission, credited and linked back to it’s original source, or believed to be public domain. The material on this site is distributed without profit to those who have an interest in using the included information for research and educational purposes. If you wish to use copyrighted material from this site for purposes of your own that go beyond ‘fair use’, you must obtain permission from the copyright holder. The information on this site does not constitute legal or technical advice.
Share your love